Wednesday 6 November 2013

BIODATA PENGETUA




Khairul Arifin bin Mat Yit dilahirkan di Kampung Limau Purut, Mela, Jerantut, Pahang pada 20 Disember 1966. Mendapat pendidikan awal  di SK Limau Purut dari 1974 hingga 1979. Pendidikan menengah beliau bermula di SMK Orang Kaya Haji Lipis (1980 – 1982) dan SMK Clifford Kuala Lipis Pahang (1983 – 1986). Memperoleh Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Kewartawanan dan Sains Politik) daripada USM pada tahun 1990. Kemudian beliau bertugas sebagai Tutor di USM (1990-1991). Oleh kerana minat yang mendalam dalam bidang pendidikan, beliau mengikuti Kursus Perguruan Lepasan Ijazah di Institut Pendidikan Sultan Abdul Halim (IPSAH) Sungai Petani Kedah, pada tahun 1992 dan berjaya memperoleh Diploma Pendidikan. Beliau seterusnya mengikuti pengajian Master di UPSI pada tahun 2009 berjaya memperoleh Ijazah Sarjana Pendidikan (M.Ed) dalam bidang Pengurusan Pendidikan.

Kerjaya sebagai guru bermula pada tahun 1993 apabila beliau ditempatkan mengajar di SMK St. Michael, Sandakan Sabah selama lima tahun. Semasa di SMK St Michael, beliau pernah dilantik sebagai Guru Kanan Kemanusiaan (1995-1997). Beliau kemudiannya meneruskan perkhidmatan di SMK Kuala Krau, Temerloh Pahang (1997 – 2004). Semasa berkhidmat di SMK Kuala Krau, beliau pernah memegang beberapa jawatan penting di sekolah, antaranya Setiausaha Peperiksaan (1997 – 2002) dan Ketua Bidang Bahasa (2002 – 2004). Seterusnya beliau dinaikkan pangkat sebagai Guru Penolong Kanan Pentadbiran di SMK Bukit Cermin, Mentakab, Pahang (2004 – 2007). Semasa di SMK Bukit Cermin, beliau pernah memangku Pengetua selama lima bulan. Kecemerlangan beliau dalam pendidikan terus terserlah apabila dilantik sebagai Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Temerloh (2007 – 2009). Semasa di PPD Temerloh, beliau banyak terlibat dalam mereka bentuk Profil Akademik yang digunakan di sekolah-sekolah di negeri Pahang hingga kini. Mula berkhidmat sebagai Pengetua pada 1 Ogos 2009 di SMK Triang 3, Bera, Pahang selama dua tahun. Mulai 16 Oktober 2011, beliau berkhidmat sebagai Pengetua SMK Temerloh Jaya, Temerloh Pahang hingga 9 Oktober 2013 dan sekarang beliau telah berkhidmat di Sekolah Sukan Pahang SMK Seberang Temerloh juga sebagai pengetua bermula pada 10 Oktober 2013.


             Sepanjang perkhidmatannya, beliau telah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) sebanyak dua kali iaitu pada tahun 1997 dan 2004. Kecemerlangannya lebih terserlah apabila dua kali menerima anjakan gaji bagi Gred PTK DG41 dan PTK DG44. Beliau juga banyak memberi sumbangan dalam pengurusan peperiksaan di sekolah dan daerah. Antara sumbangannya ialah sebagai Penyelia Kawasan bagi peperiksaan UPSR, PMR dan SPM (1998 – 2004). Selain itu, beliau juga pernah dilantik sebagai Pemeriksa Peperiksaan Tahap Kecekapan (PTK) bagi Gred DG44 (2008 – 2009). Beliau juga sering diundang untuk memberi ceramah berkaitan pengurusan dan analisis data berkaitan peperiksaan. Semasa berkhidmat sebagai Pengetua, beliau juga turut memberi sumbangan aktif dalam Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM) Pahang. Antara jawatan yang disandangnya ialah Setiausaha MPSM Bera (2009 – 2011) dan AJK ICT dan Penerbitan MPSM Pahang (2009 – kini). Beliau juga merupakan Pengerusi Sekolah Impak Tinggi daerah Temerloh tahun 2012.


Kunci kejayaan sepanjang perkhidmatannya dalam bidang pendidikan sehingga berjaya menjawat jawatan Pengetua kerana beliau sentiasa berpegang kepada prinsip “berusaha menyelesaikan sesuatu yang baru dan mencabar dengan ilmu dan pengetahuan baru yang sentiasa ditambah nilai akan memberi kejayaan dan impak yang besar kepada organisasi.” Selain itu, unsur kreativiti dan inovasi hendaklah sentiasa diterapkan dalam perancangan dan pelaksanaan setiap aktiviti dan program di sekolah. Pastikan setiap perkara yang dilakukan sentiasa ada peningkatan dari segi prestasi dan impaknya kepada organisasi. 

Hasil perkongsian hidup bersama isterinya Pn. Amalina binti Che Amat, juga merupakan seorang guru di SMK Seri Tualang, mereka dikurniakan 4 orang cahaya mata.


Wawasan beliau di SSP ialah mahu menjadi pengetua yang cemerlang dan membawa SSP SMK Seberang Temerloh ke tahap yang disegani sama  ada di peringkat negeri atau pun kebangsaan.









No comments:

Post a Comment